THE AL-CHEMIST

perjalanan dan penjelajahan fikiran menuju yang pasti....

Monday, March 31, 2008

AKAL YANG KELIRU

Agama itu ialah akal. Dan tidak ada agama pada orang yang tidak berakal.

Maka, akan ada pula yang membantah. Katanya, “Anakku cacat akal. Adakah engkau mengatakan dia tidak beragama?”. Lalu, jawablah dengan tenang. Dengan hormat pada si ayah yang bersusah-payah membesarkan anaknya yang cacat akal itu tadi. Harus dijawab, “Agama itu ialah cara hidup. Bagaimanakah cara hidup anakmu yang cacat akal itu. Kamu biarkan dia sendiri yang mengatur, atau kamu yang mengaturkan untuknya?” InsyaAllah, dia akan membalas “Tentulah aku yang mengaturkan cara hidupnya.” Nah! Di sini dia telah memberikan jawapan. Walaupun kita lihat orang yang cacat akal itu hidup dengan cara hidup yang baik. Siapa yang tolong mengaturkan cara hidupnya itu. Pastinya ada insan yang berakal sihat yang tolong mengaturkannya.

Akal itu diperoleh dari pengalaman dan latihan. Sekadar pengalaman, tak memberi bekas pada akal. Lihat pada kisah Pak Pandir. Berkali-kali ditipu. Tapi, masih tetap dapat ditipu. Sekadar latihan juga tidak berguna, jika tidak mengambil iktibar dari pengalaman.

Akal itu boleh sahaja menjadi keliru. Berapa ramai yang tahu dan mengerti, merokok itu mendatangkan mudarat. Bahkan ada yang bercerita di kedai kopi tentang taulannya yang telah mati akibat kanser paru-paru. Mulut menyatakan kesal kerana selalu menghulurkan rokok kepada almarhum, tapi ditangannya, masih ada rokok yang berbara. Kadang-kadang diletakkan di mulut, lalu disedut dalam-dalam. Sekali sedut, separuh menjadi abu. Tak takutkah dia? Tak insafkah dia? Sedangkan dia sendiri yang mengatakan merokok itu membahayakan kesihatan. Belajarnya pula di bidang kimia. Tahu seribu satu macam racun di dalam rokok itu. Bila cuba di usik, mengatakan merokok itu hukumnya “wajib”, dimarahnya kita. Bukan setakat ilmu kimia yang menjadi hujah. Keluar juga pelbagai dalil dan kata-kata ulama. Tapi mengapa masih di sedut juga rokok itu. Tidak berakalkah dia?

Ada pula yang kononnya terlalu berakal, sampai mengangkat akalnya sebagai panduan. Segala-gala mesti di tunjangi logik akal. Dalil Qur’an dan hadis semua dia sangkal. Bahkan, tanpa segan-silu menetapkan “sebarang kenyataan yang menetapkan bahawa asal-usul kehidupan ini ada perkaitan dengan kuasa ghaib (supernatural intervention) tidak boleh diikhtiraf sebagai sains”. Katanya, mana mungkin ada sesuatu kuasa yang di luar jangkauan akal.

Pernah terkenal sejak pertengahan abad ke-19 ajaran Karl Marx berasaskan historis-materialisme. Menyatakan pendapat bahawa tidak ada sesuatu di luar dari alam kenyataan ini. Katanya, Agama, Tuhan dan sebagainya hanyalah “buatan” manusia sahaja. Lahir pula tokoh seperti Lenin dan Stalin menguatkan lagi ajaran ini. Mereka runtuhkan rumah ibadat. Mereka anjurkan anti-agama. Tetapi akhirnya meninggallah lenin dan Stalin. Mati menjadi mayat. Mayat itu ialah jasad yang tinggal apabila benda hidup tidak lagi bernyawa. Bahasa kasarnya ialah bangkai. Bangkai ertinya “benda bangkai” yang mereka hormati. Padahal, apakah ertinya “benda bangkai” yang mereka hormati laksana penyembahan oleh orang yang beragama itu? Mereka tentu menjawab bahawa bukan bukan bangkai itu yang dihormati, tetapi Pemikiran Lenin-Stalin. Kita tanya lebih lanjut, Apakah pemikiran itu? Bendakah? Bukan! Jadi apa? Fitrah mereka sendiri tidak dapat dihalangi untuk mempercayai adanya keghaiban pemikiran. [ Prof. Dr. HAMKA - Falsafah Ketuhanan]

Pemikiran itu datang daripada akal. Akal itupun ghaib juga. Kalau dikatakan bahawa akal itu hasil dari benda. Mengapa batu dan pasir tidak mengeluarkan buah fikiran? “Batu dan pasir tidak berotak”, jawab mereka. Kita jawab pula, “Oh! Kalau begitu, suatu haru nanti, kita akan dijajah oleh katak, kerana katakpun ada otak. Tentu sekali dia boleh berfikir dan membentuk partainya sendiri laksana partai komunis itu”. Bahkan, bagi yang mahu berfikir dan mengkaji, otak itupun terdiri dari bahan yang sama dengan batu dan tanah. Tiada bezanya, kerana ia dibina dari elektron, proton dan neutron semata-mata. Jadi patutkah mereka menghormati “benda bangkai” itu tadi? Padahal “benda bangkai” itu sendiri di makan ulat dan kembali menjadi tanah yang tidak berakal.

Ada pula golongan yang telah tunduk dan menerima fitrah dirinya yang mengakui adanya Tuhan dan alam ghaib itu, tetapi mahu mencari Tuhan pula. Berbekalkan akalnya, dia mengkaji. Dia hendak mencari keputusan, apa yang dikatakan benda itu dan apa yang dikatakan Tuhan. Padahal dia adalah hidup dalam lingkungan benda itu sendiri. Bahkan, diapun benda. Benda yang tidak pernah dia keluar dari alam benda.

Berbekalkan akal, dia hendak mencari siapa Zat yang mengatur benda. Padahal mencari apa zat akalnya sendiripun dia tidal mampu. Akalnya itu tidak mampu mecari diri sendiri. Bahkan dirinya yang jasad itupun belum dia ketahui. Berapa helaikah bulu romanya. Berapa helaikah rambutnya. Bahkan, berapa helai bulu hidungnya yang sedikit itupun dia tidak tahu. Bagaimana mahu mencari zat Tuhan?

Akal itu ada batasnya. Dia tidak mampu mencari apa yang di luar pengalamannya. Dia juga tidak mampu mencapai sesuatu yang di luar latihannya. Akal yang sihat, semakin jauh perjalanannya menempuh pengalaman, semakin tinggi dilatih dengan alat pengetahuan, pada akhirnya bertambah kuatlah iman. Bila akal yang berteraskan iman itu sampai ke hujung perjalanannya, maka dengan rela dan senang hatilah dia menyerah. Menyerah pada YANG MENJADIKANnya dengan penyerahan yang benar-benar ikhlas. Penyerahan yang dinamakan Islam.