THE AL-CHEMIST

perjalanan dan penjelajahan fikiran menuju yang pasti....

Tuesday, January 8, 2008

Mencari Diri

Siapa aku? Siapa engkau? Siapa dia?

Kalau ditanya "apa itu aku?", "apa itu engkau?" atau "apa itu dia?", lebih mudah untuk dijawab.

Aku adalah kata ganti diri pertama.
Engkau adalah kata ganti diri kedua.
Dia pula adalah kata ganti diri ketiga.Mereka pun kata ganti diri ketiga juga.

Tetapi, persoalannya, "siapa"...
Siapa "aku", "engkau", "dia" dan "mereka itu"?

Adakah engkau benar-benar kenal akan siapa engkau itu?
Aku? Aku sendiri tidak pasti adakah aku benar-benar kenal akan siapa aku.

Siapa engkau? Ah! Biarlah engkau sendiri yang jawab.
Siapa dia? Biarlah juga dia sendiri yang jawab.
Siapa kita? Marilah kita sama-sama berbincang dan berfikir tentang ia.

Diri kita ada jasad. Diri kita ada roh. Itu sesuatu yang pasti.
Ada jasad, tiada roh. Bangkailah jadinya.
Bagilah bahasa yang elok sikit, Mayat. Eh! Terasa seram pula jadinya.
Kalau ada roh, tiada berjasad. Apa pula?
Mungkin Malaikat, mungkin pula Iblis. Mungkin juga ada yang ingin menambah lagi.

Roh tetaplah roh, dan jasad tetaplah jasad. Roh itu urusan Tuhan. Janganlah dikaji-kaji. Ianya halus sampai tak terlihat dek mata kasar mahupun mikroskop elektron berkuasa tinggi. Tetapi, memenuhi badan.
Apa itu? Halus memenuhi jasad? Satu jasad ada banyak roh-kah?
Bukan! Satu jasad cuma ada satu roh.
Tapi tadi kata roh tu halus, macam mana boleh memenuhi jasad?
Erm..... ???

Dah dikatakan tadi, roh itu utusan Tuhan. Jangan dikaji-kaji. Kenapa degil?

Bukankah roh sebahagian dari diri. Kenal diri, maka kenallah Tuhan.

Eh! menjawab pula. Dah habis kajikah tentang jasad? Apa sifatnya, apa cirinya, apa apanya. Kalau sudah habis kaji tentang jasad kamu itu, maka aku tanya kamu, Berapa helaikah bulu roma yang kamu ada? Kalau kamu dapat jawab dengan tepat, silalah kamu kaji tentang roh. Kamu dah kashaf agaknya. Aku belum lagi. Berapa helai bulu hidung pun, aku tidak tahu.

Inilah jasad aku. Itulah jasad engkau. Jasad itu Ahmad Albab yang punya (jasad si Ahmad Albab lah). Betulkah jasad engkau, engkau yang punya? Kalau engkau yang punya, kenapa tak tahu bilangan bulu romanya. (Kalau dah kashaf, tentu kamu tahu ini ayat provokasi bagi yang sama-sama belum kashaf macam aku).

Apa kejadahnya jasad tu? Jasad itu badan. Badan itu tubuh. Apa pula kebendanya badan dan tubuh itu? Tak payahlah aku jawab. Aku ni tidak layak menjadi guru tadika. Cepat naik darah.

Hakikatnya, jasad itu adalah sel yang membahagi. Asalnya, dari dua sel separuh lengkap satu dari ibu dan satu dari bapa. Ya, jasad kita adalah sel ibubapa kita yang membahagi. Cuma ia terlepas dari jasad ibubapa kita. kalau tak kerana ia dihidupkan dan membahagi, tetaplah kita sebagai satu sel serpihan dari ibubapa kita yang mungkin dikeluaran sebagai daki. Mujur kita bukan dari sel kulit. Tapi dari sel yang lain.

Setelah membahagi, kita membesar. Membesar bukan kerana sel itu yang menjadi besar, tetapi dek kerana bilangan sel yang bertambah. Lalu sebahagiannya membentuk otak. Istimewanya manusia, dikatakan diotaklah letaknya akal. Apa pula akal itu?

Akal itu fikiran kita. Kita belajar dan berfikir. Bukan serpihan dari ibubapa kita. Tetapi, ada kalanya termakan juga kita akan akal fikiran ibubapa kita.

Namun, semakin kita besar, semakin kita belajar. Bila bertambah pengalaman hidup, semakin jelaslah pegangan akal kita. Sampai ada yang membantah ibubapa.

Balajar dan memikir. Apa yang dia fikirkan, hanya dia yang tahu.

Jika jasad hanya meneruskan proses pembahagian sel yang membentuk jasad yang sama dengan jasad datuk nenek dan moyangnya. Maka, akal pula bila terus menerus berfikir, akan membentuk satu pemikiran yang jauh dari pemikiran datuk nenek dan moyangnya. Dari pemikiran primitif ke pemikiran moden(?).

Lalu, berlaunglah si pemikir mengatakan "akal itulah aku". Dan bermadahlah si pemikir:
Roh itu urusan Tuhanku
Jasad itu serpihan ibubapaku
Maka akal itulah aku yang sebenarnya

Namun, timbul pula pertanyaan baru.

APAKAH AKAL ITU? APAKAH SIFATNYA? CIRINYA? BENTUKNYA? LETAKNYA? DAN SETERUSNYA.

Jasad yang tampak pun kita tak kenal, lagikan pula akal yang tak kelihatan.

Tuesday, October 9, 2007

LANGKAH PERTAMA

Hidup merupakan satu perjalanan. Perjalanan yang tak akan pernah ada perhentiannya. Tidak kira sama ada langkah pertama kita bermula dengan langkah kanan atau langkah kiri, kita tetap perlu meneruskannya sambil membetulkan setiap langkah yang akan dilakukan.

Kita tidak tahu apa yang ada dihadapan. Apa yang kita lihat, tidak semestinya akan kita lalui. Bekalanpun, kita tidak ada. Apa yang boleh kita lakukan hanyalah, pada setiap langkah, kita mengambil apa-apa yang boleh dijadikan bekalan. Kadang kala, apa yang kita ambil itu hanya satu bebanan, yang tidak ada gunanya sama sekali melainkan memberi penat dan memenuhkan ruang yang sepatutnya kita isi dengan bekalan yang berguna. Akhirnya, di hadapan nanti, kita akan merugi...

Untuk melangkah, memang banyak jalannya. Ke kanan boleh, ke kiripun boleh. Bahkan pada setiap sudut, kita boleh melangkah. Tapi, kenalah berhati-hati, jangan sampai melangkah ke dalam gaung, jangan sampai terpijak duri, dan jangan pula terpijak kulit pisang di atas simen yang licin, nanti jatuh, sakit pula, sampai tak lalu untuk meneruskan langkah-langkah yang seterusnya.

Sebelum meneruskan langkah, pastikan dulu apa yang akan dijadikan tempat berpijak. Jangan terpijak tahi ayam candu, nanti busuk tak terbau. Jangan terpijak titi yang rapuh, nanti dia runtuh. Pastikan tempat berpijak itu kukuh, supaya selamat perjalanan yang kita tempuh.

Ada orang, langkah pertamanya bagus. Tempat berpijaknya kukuh. Sehingga dia berjalan dengan angkuh, lalu lupa melihat ke bawah, ada lubangkah, ada kulit pisangkah. Lalu, dia terjatuh. Tersembam muka ke tanah. Ada yang mampu bangun semula, tapi terpaksa menanggung malu. Tak kurang pula yang terus jatuh terguling ke dalam gaung, tak mampu bangkit lagi. Terus mati. Matinya hina...

Ada pula yang langkah pertamanya pincang, bagai anak-anak kecil yang baru bertatih. Tapi, dia pandai mencari tiang buat topang. Mengukuhkan semula langkahnya. Akhirnya dia maju terus. Sampai ke tempat yang dituju. Menjadi mulia...

Ada pula yang sememangnya sejak awal lagi melangkah dengan yakin, Tapi tak angkuh. Slow and steady kata sesetengah orang. Nampak lubang, dilompatinya. Nampak kulit pisang, tidak dipijaknya. Orang lain melihatpun rasa senang. Mulia dalam perjalanan, mulia juga di tempat tujuan...

Tidak kurang juga yang langkahnya tempang. Tapi tak sedar diri. Dihulurkan tongkat, dicampaknya ke tepi. Cuba dipimpin, ditepisnya. "aku boleh berjalan sendiri", katanya. Tapi, dia tak sampai ke mana-mana. Akhirnya tinggal di belakang. Senang hati si binatang buas melihat si tempang tinggal seorang. Dimakannya tak bersisa. Mati dan tak tinggal nama....

Banyak lagi jenis orang yang berjalan. Namun, empat yang diatas boleh dikira sebangai rumusan. Yang lain, hanya bermain di sekitar yang empat itu jugalah adanya. Cuma, kadang-kadang ia berulang-ulang. Kadang pincang, kadang teguh, kadang tempang, kadang yakin... Yang kita mahu adalah yang benar-benar yakin... Haqqul yakin.

Kalau berjalan di lorong yang sempit janganlah bergaduh, apatah lagi kalau mencari gaduh. Nanti pasti ada yang akan tertolak keluar dari jalan, termasuk ke hutan, dipatuk ular pula. Kalau dijambatanpun begitu juga. Kalau bergaduh, nanti ada yang jatuh. Kalau sungainya dalam, lemas pula. Kalau cetek, dan jambatannya tinggi, takut nanti patah kaki, tak boleh berjalan lagi, atau mungkin terus mati terjatuh...

Jalan ada banyak. Kadang-kadang sampai boleh tersesat. Kalo tersesat, bertanya. "Malu bertanya, sesat jalan" itu pesan orang tua-tua. Jalan yang banyak mungkin ada yang dekat, mungkin ada yang jauh, mungkin juga ada yang tak sampai sebab sesat. Jadi, pandai-pandailah. Jangan tunjuk pandai, tapi pandai-pandailah.

Jalan yang dekat mungkin lurus, tak menarik. Hidupkan injin, masuk gear satu, tukar gear dua, eh! dah sampai. Itu kalau naik kereta. Jalan jauh mungkin ada selekoh tajam, salah belok, ke gaung perginya. Tapi seronok, sebab boleh "drift" macam dalam Initial D. Paling tidakpun, macam Impak Maksima. Tapi, memang bahaya juga. Kena pandai...

kalau berjalan kaki, tak ada salahnya. Sebab jalan dekat, sekejap sudah sampai, tak sempat menikmati alam. Kalu jalan jauh, boleh juga kuruskan badan sambil menghirup udara segar dan menghayati alam. Ambillah jalan mana yang suka. Jangan bergaduh.

Langkah aku yang pertama sudah selesai. The Al-Chemist ini terlalu mendalam untuk ku letakkan tentang ilmu kimia semata. Nanti macam tak hormat pula pada The Al-Chemist of Happiness kita. Imam A-Ghazali. Semoga Allah merahmatinya dan orang-orang yang mengikut jalannya.