THE AL-CHEMIST

perjalanan dan penjelajahan fikiran menuju yang pasti....

Sunday, May 4, 2008

Merenung Kejadian

Mata melihat. Otak memikir. Bila disatukan, kita merenung. Merenung bukan termenung. Merenung itu berisi. Termenung itu kosong.

Merenung kejadian. Melihat segala yang dijadikan. Yang dijadikan itu ada namanya, itulah Alam.

Melihat itu bukan sekadar dengan mata. Ada benda yang tidak mampu dilihat dengan mata. Atom dan molekul contohnya. Bahkan dengan bantuan mikroskop cahaya juga kita tidak mampu melihat atom dan molekul. Terpaksalah mengguhakan alat yang lebih maju.

Dengan ilmu sains, kita mampu melihat atom, bahkan elektronpun mampu dilihat. Jika dulu, ahli falsafah mengatakan unsur itu hanya lima. Kini kita tahu pembahagian itu salah.

Ada pelbagai unsur yang membentuk benda. Ada unsur Oksigen, ada Karbon, ada Hidrogen dan pelbagai lagi. Jasad kita juga terbentuk dari unsur-unsur ini dan ditambah beberapa unsur yang lain.

Mengikut kiraan jisim (yang menentukan berat), unsur yang terbanyak dalam membentuk jasad manusia ialah Oksigen. Unsur ini unik. Secara alami, jika unsur ini berkumpul sesama sendiri ia hanya membentuk molekul oksigen yang tidak mampu dilihat dengan mata. Pada keadaan tertentu, ia membentuk ozon yang juga tidak mampu dilihat dengan mata. Secara kasarnya ini adalah analogi bagi unsur Roh dalam diri manusia. Roh yang tidak kelihatan inilah yang sepatutnya diambil berat oleh manusia. Yang melambangkan kehidupan di alam sana.

Unsur yang berperanan membentuk tubuh dengan cara memegang unsur-unsur lain pula ialah Karbon. Ia juga adalah unsur kedua terbanyak mengikut kiraan jisim. Unsur ini juga unik dan penting. Ia menjadi analogi bagi keperluan jasad yang tampak. Jasad yang memperlambangkan kehidupan di dunia.

Untuk membentuk kehidupan yang kukuh di dunia, jadikanlah unsur Karbon ini sebagai panduan.

Kebetulan yang ditentukan oleh Zat Yang Maha Mengetahui, sememangnya menarik untuk direnung. Atom Karbon adalah perlambangan bagi seorang individu. Atom ini berkumpul membentuk beberapa bahan. Dua yang utama ialah arang (graphite) dan berlian (diamond).

Arang, jika dilihat susunan atomnya, terbentuk dengan susunan yang berlapis-lapis dan tersusun. Ia juga hitam (tidak telus cahaya). Susunan ini membentuk bahan yang rapuh. Ia adalah analogi kehidupan manusia. Jika kita menyusun masyarakat secara berlapis-lapis (mengikut kasta?), yang mana kumpulan yang di bawah tidak berhubung secara langsung dengan kumpulan yang di atas. Bahkan, tiada ketelusan (transparency). Maka, natijahnya ialah masyarakat itu akan mudah runtuh. Begitu juga dalam keluarga. Jika mengikut resam arang, walaupun nampak tersusun cara hidupnya tetapi tiada ketelusan sesama anggota keluarga, terutama antara suami dan isteri, pasti hubungan itu rapuh.

Berlian pula, susunan atomnya nampak seperti tidak teratur. Tapi sebenarnya ia tersusun rapi. Setiap atom saling berhubung. Ia telus cahaya. Berkilauan. Bahkan ia terkenal sebagai bahan yang paling utuh pernah diketahui. Ini adalah analogi kehidupan bermasyarakat yang kukuh. Setiap individu saling berhubungan. Setiap tindak-tanduk disertai ketelusan hati. Pemimpin bersikap transparen. Rakyat boleh berhubung terus dengan pemimpim masyarakat. Susunan inilah yang dicontohkan oleh Rasullah s.a.w dalam sistem kemasyarakatan di Madinatul Munawarah. Dalam kekeluargaan juga, jika mengikut resam berlian insyaAllah hubungan akan kukuh. Walaupun suami isteri masing-masing sibuk dengan kerjaya. Laksana susunan atom dalam berlian yang tidak teratur tapi tersusun rapi. Ada perbincangan, ada ketelusan dan ada persefahaman. InsyaAllah, berkilauanlah cahaya di kediaman.

Banyak lagi pengajaran yang boleh diperolehi dari penciptaan alam. Apa yang perlu, kita pergunakan akal yang dianugerahkan kepada kita. Fikirkan tentang ciptaan-Nya. InsyaAllah, kita akan berjaya.



Berlian, Arang dan susunan atomnya.
Ehsan dari pakcik wiki