THE AL-CHEMIST

perjalanan dan penjelajahan fikiran menuju yang pasti....

Wednesday, July 28, 2021

Panduan Sembahyang Berjemaah 001

Inilah risalah "Panduan Sembahyang Berjemaah" oleh Almarhum Tuan Guru Haji Abdul Rahman Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas Kelantan.

Dicetak kali yang pertama pada tahun 1969.


Bismillahirrahmanirrahim.


[Pujian bagi Allah  dan selawat ke atas rasulullah]

Adapun kemudian daripada itu, maka tatkala melihat hamba akan setengah saudara2 hamba yang menunaikan sembahyang berjemaah pada setengah2 tempat hal keadaannya meninggal mereka itu akan adab2 baginya. Maka bergerak fikiran hamba akan menuliskan satu risalah yang menyata ia akan setengah adab2 yang tertentu baginya supaya dapat kelebihannya bagi mereka itu dan terpelihara daripada batal sembahyang mereka itu sekira2 mengamati2 mereka itu dan hamba susunkan di dalamnya tiga fasal dan satu khatimah dan akan Allah taala jua hamba pohonkan bahawa memberi manfaat Ia dengan ini risalah bagi hamba sendiri dan bagi sekalian pembacanya dan bahawa menjadi Ia akan dia ikhlas semata2 menuntut keredhaan-Nya kerana bahawasanya Ia sangat kuasa atas tiap2 sesuatu. [Mohon taufik Allah]


Fasal yang pertama pada menyatakan hukum sembahyang jemaah dan kelebihannya.

Dan disyarakkan sembahyang berjemaah kemudian daripada berpindah Nabi ke Madinahdan ialah ketentuan umat ini seperti Jumaat dan dua hari raya dan iaitu sunat muakadah di sisi Rafi'i. Kata qil sunat kifayah. Kata qil fardhu 'ain. Dan terlebih sah di sisi Nawawi fardhu kifayah. Dan tak dapat tiada daripada zahir ketandaan jemaah dengan mendirinya dengan satu tempat di dalam kampung kecil dan beberapa tempat di dalam kampung besar baru lepas tuntutannya dengan sekira2 zahir segala pihaknya ketandaan jemaah maka jika muafakat mereka itu atas menndirinya di dalam segala rumah2 dan tiada zahir dengan dia ketandaan nescaya tidak gugur fardhu. 

Maka jika tertegah mereka itu daripada mendirinya atas barang yang disuruh akan dia nescaya memperang akan mereka itu oleh imam atau gantinya tiada lainnya. Dan telah datang beberapa khabar yang banyak pada menyatakan kelebihannya. Setengah daripadanya khabar Bukhari dan Muslim [hadis] ertinya bermula sembahyang berjemaah terlebih afdhal daripada sembahyang seorang dengan dua puluh tujuh darjat. Dan setengah daripadanya khabar at-Tabrani daripada Anas [hadis] ertinya barang siapa berjalan ia kepada sembahyang fardhu berjemaah maka iaitu seperti kerja satu haji dan barang siapa berjalan ia kepada sembahyang sunat maka iaitu sepetri kerja umrah yang sunat. Dan setengah daripadanya khabar Tarmizi daripada Anas pula [hadis] bermakna barang siapa sembahyang ia empat puluh hari dalam berjemaah mendapat ia akan takbiratul ihram mengiringi imam disurat baginya dua kelepasan satu kelepasan neraka dan kedua kelapasan daripada nifak yakni perangai munafikin percaya zahir ingkar batin.

Dan telah membilang salaf akan luput sembahyang jemaah akan bala dan adalah setengah salaf keluar ia pergi ke kebun tamar baginya kemudian balik ia, tiba2 manusia sudah sembahyang Asar maka mengucap ia inna lillahi wa inna ilaihi raji'un luput dah aku sembahyang jemaah ini, maka ia pun jadikan kebunnya sedekah kepada miskin2 ganti kerugiannya. Dan adalah Abdullah bin Umar r.a luput sembahyang jemaah 'isya' maka sembahyang ia pada malam itu hingga naik fajar kerana tampal kerugian itu. 

Dan berkata setengah salaf tiada meluput akan seorang oleh sembahyang jemaah melainkan dengan sebab dosa yang mengena ia akan dia.


Bersambung...

Monday, March 5, 2012

Merenung dan Beramal dengan Nasib

Saya sebenarnya agak pelik dengan manusia. Ya! Saya juga adalah manusia. Saya juga berasa pelik dengan diri saya sendiri. Masakan saya tidak berasa pelik dengan diri sendiri apabila saya sendiri tidak tahu bagaimana otak saya mengawal pemikiran saya. oh! Sekarang ia sudah menjadi semakin pelik kerana saya rasa diri saya bukan saya tetapi adalah otak saya. Errr... Apakah saya sebenarnya, seluruh badan sayakah atau otak sayakah? Ah! Manusia memang pelik. Abaikan!

Membicarakan tentang diri sendiri dan mencari zat yang dikatakan diri sendiri itu sememangnya sesuatu yang pelik dan misteri. Maka, jangan difikir akan hal itu. Ada perkara pelik yang lebih wajar difikirkan. Itulah dia bertenung nasib. Bertenung nasib ini sama maknanya dengan meramal nasib atau menilik nasib.

Apa yang pelik dengan bertenung nasib? Yang pelik ialah ramai orang yang suka atau suka-suka bertenung nasib. Ada yang bertenung nasib dengan buruj di langit, ada juga yang bertenung nasib dengan entah apa-apa aplication di FB. Bertambah pelik bila yang melakukan itu adalah orang Islam. Bertambah pelik bila mereka yang bertenung nasib inilah yang like bagai nak rak jika ada ustaz yang buat note tentang haramnya bertenung nasib. Mereka like setelah membaca atau like sebab suka-suka, hanya mereka yang tahu.

Saya menulis tentang hal ini kerana ramai kawan saya di FB yang beragama Islam yang suka-suka bermain dengan ramalan nasib ini. Jika dikaitkan buruj di langit itu dengan psikologi mungkin boleh diterima lagi. Tetapi tidak boleh juga diterima bulat-bulat kerana yang bulat itu sifatnya bergolek. Yang meruntun hati saya bila mereka bertenung tentang rezeki, jodoh, kesihatan dan seumpamanya. Ini memang haram. Jika tidak percaya sila google sendiri dan pastikan kamu baca tulisan dari ustaz-ustaz yang berautoriti.

Tentang hukum sudah jelas. Kini tentang keperluan dan kebaikan (jika ada).

Mengapa kita mesti menilik nasib? Adakah mengetahui apa yang akan berlaku itu sangat penting. Jika penting, marilah saya berikan satu tilikan yang tidak akan pernah salah. Tilikan keramat yang tidak mencederakan kura-kura dan tidak memerlukan syiling berlubang tengah. Juga tidak memerlukan pengiraan perjalanan bintang-bintang di langit dan kepandaian melihat intensiti cahaya bintang-bintang pilihan. Tilikan yang seratus persen tepat tanpa salah. Jika kamu baca tilikan ini, maka hasil tilikan ini pasti akan mengenai kamu. Saya tilikkan khas buat kamu, hasil tilikan itu ialah suatu hari nanti kamu pasti akan mati. Bukan sahaja kamu, bahkan saya dan semua makhluk yang hidup pasti akan mati. Puas hati? (Ini bukan tilikan haram, ini maksud dari surah al-Imran ayat 185: Setiap (makhluk) yang hidup, pasti akan mati)

Setelah tahu kita pasti akan mati, apa yang menariknya? Tiada apa-apa yang menarik bukan? Maka, kenapa mesti menilik nasib? Suka-suka dan sengaja mahu bergembira? Oh! bahagia rupanya bila melanggar perintah Tuhan. Begitu?

Di sini ada beberapa perkara yang boleh difikirkan tentang tilik nasib. Hayati dan fahamilah demi kebaikan bersama.

1) Orang Islam haram bertenung nasib. Bahkan, berjumpa tukang tilik pun sudah salah, belum lagi kalau percaya dengan tilikannya.

2) Sifat manusia akan terpengaruh dengan kata-kata. Jika kita bermain tilik nasib di FB kerana suka-suka dan tilikan itu benar-benar terjadi pasti kita akan kata "Eh! Betullah ramalan bintang ini." Hasilnya, tercabutlah iman dari hati.

3) Jika sesuatu tilikan itu benar, maka tiada apa yang mampu menghalangnya dari berlaku. Oleh itu, lebih baik kita tidak tahu. kalau kita tahu pun bukan kita boleh buat apa-apa. Contohnya, jika kita tahu kita akan putus kaki dan tidak mampu hendak mengelakkannya dari berlaku kerana tilikan itu tepat 100%. Apa faedahnya?

4) Jika tilikan itu salah. Maka apa bangangnya kita hendak dengar dan percaya pada penipuan? Takkanlah kita hendak diperbodohkan oleh tukang tilik yang palsu lagi pembohong.

Solusi untuk perkara 3 dan 4 sebenarnya mudah di mulut tapi susah dipraktikkan. Caranya ialah dengan usaha. Jika kita hendak tahu kita akan berjaya atau tidak, lihatlah usaha kita. Jika bersungguh dan betul jalannya, maka insyaAllah akan berjaya. Jika tidak berjaya, kita tetap mendapat pengalaman. Gunakan pengalaman itu pada kerja yang seterusnya dan jangan ulangi kesalahan. Lama-lama pasti akan berjaya. Tidak perlu bertilik nasib.

Maka, tujuan saya menulis disini hanya satu. Hentikanlah bermain aplikasi ramalan bintang atau apa-apa saja jenis ramalan di FB. Bukan sahaja tiada faedah, bahkan boleh merosakkan akidah. Janganlah sampai saya buat satu NGO pula sebab semakin ramai orang Islam yang main aplikasi tersebut. Saya bukan ahli politik yang boleh lompat atas pagar dan buat NGO.

Sunday, May 4, 2008

Merenung Kejadian

Mata melihat. Otak memikir. Bila disatukan, kita merenung. Merenung bukan termenung. Merenung itu berisi. Termenung itu kosong.

Merenung kejadian. Melihat segala yang dijadikan. Yang dijadikan itu ada namanya, itulah Alam.

Melihat itu bukan sekadar dengan mata. Ada benda yang tidak mampu dilihat dengan mata. Atom dan molekul contohnya. Bahkan dengan bantuan mikroskop cahaya juga kita tidak mampu melihat atom dan molekul. Terpaksalah mengguhakan alat yang lebih maju.

Dengan ilmu sains, kita mampu melihat atom, bahkan elektronpun mampu dilihat. Jika dulu, ahli falsafah mengatakan unsur itu hanya lima. Kini kita tahu pembahagian itu salah.

Ada pelbagai unsur yang membentuk benda. Ada unsur Oksigen, ada Karbon, ada Hidrogen dan pelbagai lagi. Jasad kita juga terbentuk dari unsur-unsur ini dan ditambah beberapa unsur yang lain.

Mengikut kiraan jisim (yang menentukan berat), unsur yang terbanyak dalam membentuk jasad manusia ialah Oksigen. Unsur ini unik. Secara alami, jika unsur ini berkumpul sesama sendiri ia hanya membentuk molekul oksigen yang tidak mampu dilihat dengan mata. Pada keadaan tertentu, ia membentuk ozon yang juga tidak mampu dilihat dengan mata. Secara kasarnya ini adalah analogi bagi unsur Roh dalam diri manusia. Roh yang tidak kelihatan inilah yang sepatutnya diambil berat oleh manusia. Yang melambangkan kehidupan di alam sana.

Unsur yang berperanan membentuk tubuh dengan cara memegang unsur-unsur lain pula ialah Karbon. Ia juga adalah unsur kedua terbanyak mengikut kiraan jisim. Unsur ini juga unik dan penting. Ia menjadi analogi bagi keperluan jasad yang tampak. Jasad yang memperlambangkan kehidupan di dunia.

Untuk membentuk kehidupan yang kukuh di dunia, jadikanlah unsur Karbon ini sebagai panduan.

Kebetulan yang ditentukan oleh Zat Yang Maha Mengetahui, sememangnya menarik untuk direnung. Atom Karbon adalah perlambangan bagi seorang individu. Atom ini berkumpul membentuk beberapa bahan. Dua yang utama ialah arang (graphite) dan berlian (diamond).

Arang, jika dilihat susunan atomnya, terbentuk dengan susunan yang berlapis-lapis dan tersusun. Ia juga hitam (tidak telus cahaya). Susunan ini membentuk bahan yang rapuh. Ia adalah analogi kehidupan manusia. Jika kita menyusun masyarakat secara berlapis-lapis (mengikut kasta?), yang mana kumpulan yang di bawah tidak berhubung secara langsung dengan kumpulan yang di atas. Bahkan, tiada ketelusan (transparency). Maka, natijahnya ialah masyarakat itu akan mudah runtuh. Begitu juga dalam keluarga. Jika mengikut resam arang, walaupun nampak tersusun cara hidupnya tetapi tiada ketelusan sesama anggota keluarga, terutama antara suami dan isteri, pasti hubungan itu rapuh.

Berlian pula, susunan atomnya nampak seperti tidak teratur. Tapi sebenarnya ia tersusun rapi. Setiap atom saling berhubung. Ia telus cahaya. Berkilauan. Bahkan ia terkenal sebagai bahan yang paling utuh pernah diketahui. Ini adalah analogi kehidupan bermasyarakat yang kukuh. Setiap individu saling berhubungan. Setiap tindak-tanduk disertai ketelusan hati. Pemimpin bersikap transparen. Rakyat boleh berhubung terus dengan pemimpim masyarakat. Susunan inilah yang dicontohkan oleh Rasullah s.a.w dalam sistem kemasyarakatan di Madinatul Munawarah. Dalam kekeluargaan juga, jika mengikut resam berlian insyaAllah hubungan akan kukuh. Walaupun suami isteri masing-masing sibuk dengan kerjaya. Laksana susunan atom dalam berlian yang tidak teratur tapi tersusun rapi. Ada perbincangan, ada ketelusan dan ada persefahaman. InsyaAllah, berkilauanlah cahaya di kediaman.

Banyak lagi pengajaran yang boleh diperolehi dari penciptaan alam. Apa yang perlu, kita pergunakan akal yang dianugerahkan kepada kita. Fikirkan tentang ciptaan-Nya. InsyaAllah, kita akan berjaya.



Berlian, Arang dan susunan atomnya.
Ehsan dari pakcik wiki

Monday, March 31, 2008

AKAL YANG KELIRU

Agama itu ialah akal. Dan tidak ada agama pada orang yang tidak berakal.

Maka, akan ada pula yang membantah. Katanya, “Anakku cacat akal. Adakah engkau mengatakan dia tidak beragama?”. Lalu, jawablah dengan tenang. Dengan hormat pada si ayah yang bersusah-payah membesarkan anaknya yang cacat akal itu tadi. Harus dijawab, “Agama itu ialah cara hidup. Bagaimanakah cara hidup anakmu yang cacat akal itu. Kamu biarkan dia sendiri yang mengatur, atau kamu yang mengaturkan untuknya?” InsyaAllah, dia akan membalas “Tentulah aku yang mengaturkan cara hidupnya.” Nah! Di sini dia telah memberikan jawapan. Walaupun kita lihat orang yang cacat akal itu hidup dengan cara hidup yang baik. Siapa yang tolong mengaturkan cara hidupnya itu. Pastinya ada insan yang berakal sihat yang tolong mengaturkannya.

Akal itu diperoleh dari pengalaman dan latihan. Sekadar pengalaman, tak memberi bekas pada akal. Lihat pada kisah Pak Pandir. Berkali-kali ditipu. Tapi, masih tetap dapat ditipu. Sekadar latihan juga tidak berguna, jika tidak mengambil iktibar dari pengalaman.

Akal itu boleh sahaja menjadi keliru. Berapa ramai yang tahu dan mengerti, merokok itu mendatangkan mudarat. Bahkan ada yang bercerita di kedai kopi tentang taulannya yang telah mati akibat kanser paru-paru. Mulut menyatakan kesal kerana selalu menghulurkan rokok kepada almarhum, tapi ditangannya, masih ada rokok yang berbara. Kadang-kadang diletakkan di mulut, lalu disedut dalam-dalam. Sekali sedut, separuh menjadi abu. Tak takutkah dia? Tak insafkah dia? Sedangkan dia sendiri yang mengatakan merokok itu membahayakan kesihatan. Belajarnya pula di bidang kimia. Tahu seribu satu macam racun di dalam rokok itu. Bila cuba di usik, mengatakan merokok itu hukumnya “wajib”, dimarahnya kita. Bukan setakat ilmu kimia yang menjadi hujah. Keluar juga pelbagai dalil dan kata-kata ulama. Tapi mengapa masih di sedut juga rokok itu. Tidak berakalkah dia?

Ada pula yang kononnya terlalu berakal, sampai mengangkat akalnya sebagai panduan. Segala-gala mesti di tunjangi logik akal. Dalil Qur’an dan hadis semua dia sangkal. Bahkan, tanpa segan-silu menetapkan “sebarang kenyataan yang menetapkan bahawa asal-usul kehidupan ini ada perkaitan dengan kuasa ghaib (supernatural intervention) tidak boleh diikhtiraf sebagai sains”. Katanya, mana mungkin ada sesuatu kuasa yang di luar jangkauan akal.

Pernah terkenal sejak pertengahan abad ke-19 ajaran Karl Marx berasaskan historis-materialisme. Menyatakan pendapat bahawa tidak ada sesuatu di luar dari alam kenyataan ini. Katanya, Agama, Tuhan dan sebagainya hanyalah “buatan” manusia sahaja. Lahir pula tokoh seperti Lenin dan Stalin menguatkan lagi ajaran ini. Mereka runtuhkan rumah ibadat. Mereka anjurkan anti-agama. Tetapi akhirnya meninggallah lenin dan Stalin. Mati menjadi mayat. Mayat itu ialah jasad yang tinggal apabila benda hidup tidak lagi bernyawa. Bahasa kasarnya ialah bangkai. Bangkai ertinya “benda bangkai” yang mereka hormati. Padahal, apakah ertinya “benda bangkai” yang mereka hormati laksana penyembahan oleh orang yang beragama itu? Mereka tentu menjawab bahawa bukan bukan bangkai itu yang dihormati, tetapi Pemikiran Lenin-Stalin. Kita tanya lebih lanjut, Apakah pemikiran itu? Bendakah? Bukan! Jadi apa? Fitrah mereka sendiri tidak dapat dihalangi untuk mempercayai adanya keghaiban pemikiran. [ Prof. Dr. HAMKA - Falsafah Ketuhanan]

Pemikiran itu datang daripada akal. Akal itupun ghaib juga. Kalau dikatakan bahawa akal itu hasil dari benda. Mengapa batu dan pasir tidak mengeluarkan buah fikiran? “Batu dan pasir tidak berotak”, jawab mereka. Kita jawab pula, “Oh! Kalau begitu, suatu haru nanti, kita akan dijajah oleh katak, kerana katakpun ada otak. Tentu sekali dia boleh berfikir dan membentuk partainya sendiri laksana partai komunis itu”. Bahkan, bagi yang mahu berfikir dan mengkaji, otak itupun terdiri dari bahan yang sama dengan batu dan tanah. Tiada bezanya, kerana ia dibina dari elektron, proton dan neutron semata-mata. Jadi patutkah mereka menghormati “benda bangkai” itu tadi? Padahal “benda bangkai” itu sendiri di makan ulat dan kembali menjadi tanah yang tidak berakal.

Ada pula golongan yang telah tunduk dan menerima fitrah dirinya yang mengakui adanya Tuhan dan alam ghaib itu, tetapi mahu mencari Tuhan pula. Berbekalkan akalnya, dia mengkaji. Dia hendak mencari keputusan, apa yang dikatakan benda itu dan apa yang dikatakan Tuhan. Padahal dia adalah hidup dalam lingkungan benda itu sendiri. Bahkan, diapun benda. Benda yang tidak pernah dia keluar dari alam benda.

Berbekalkan akal, dia hendak mencari siapa Zat yang mengatur benda. Padahal mencari apa zat akalnya sendiripun dia tidal mampu. Akalnya itu tidak mampu mecari diri sendiri. Bahkan dirinya yang jasad itupun belum dia ketahui. Berapa helaikah bulu romanya. Berapa helaikah rambutnya. Bahkan, berapa helai bulu hidungnya yang sedikit itupun dia tidak tahu. Bagaimana mahu mencari zat Tuhan?

Akal itu ada batasnya. Dia tidak mampu mencari apa yang di luar pengalamannya. Dia juga tidak mampu mencapai sesuatu yang di luar latihannya. Akal yang sihat, semakin jauh perjalanannya menempuh pengalaman, semakin tinggi dilatih dengan alat pengetahuan, pada akhirnya bertambah kuatlah iman. Bila akal yang berteraskan iman itu sampai ke hujung perjalanannya, maka dengan rela dan senang hatilah dia menyerah. Menyerah pada YANG MENJADIKANnya dengan penyerahan yang benar-benar ikhlas. Penyerahan yang dinamakan Islam.

Thursday, February 14, 2008

QALBU YANG TERLUKA

Dalam diri anak Adam itu, ada seketul daging. Kalau ia baik, maka baiklah seluruh tubuhnya. Kalau ia rosak, maka rosaklah seluruh tubuhnya. Itulah Qalbu.

Jika Qalbu kita baik, maka tak perlulah dikhuatirkan. Salah!
Jika Qalbu kita baik, maka kita tetap perlu menjaganya. Tetap perlu menatangnya bagai minyak yang penuh. Dijaga dan dibelai. Kalau sakit Qalbu kita itu, maka perlulah diubati. Dan ubatnya adalah iman. Itulah ubatnya, bahkan menjadi makanannya juga. Tanpa iman, laparlah Qalbu itu, menjadi lemah tak bermaya. Maka sakitnya tidak mahu sembuh. Dari Qalbu yang baik menjadi Qalbu yang rosak.

Rosaknya Qalbu itu tidak sakitkah?
Ketahuilah, rosaknya Qalbu itu teramat sakit . Namun, terkadang bahkan selalu kita terlupa pada sakitnya itu, mungkin kerana terlalu takut atau terlalu gembira.

Analoginya, seorang yang luka kakinya. Jalannya terdengkot-dengkot bukti sakit yang amat. Tapi dia tersesat di dalam hutan, maka haruslah dia tetap berjalan mencari jalan pulang. Amat malang, terserempak pula dengan harimau yang garang. Hah! Mencicit lari, lintang pukang, tak cukup tanah. Akibat takutkan harimau, lupa dia akan kakinya yang luka itu. Lepas dari mulut harimau, mujur pula tiada buaya. Maka dia kembali tenang. Terduduklah dia keletihan, baru terpandang luka di kakinya tadi. Aduh! Sakitnya datang kembali, bahkan telah bertambah dua kali.

Sedang menahan sakit, terpandang pula sebuah peti besi. Nampaknya mahal. Tapi di tempat yang berduri. Dek rasa ingin tahu, didekatinya peti besi itu dengan berhati-hati agar tak di tusuk duri. Dibukanya peti besi itu. Wah! Ada emas, ada intan, ada permata. Gembira hatinya. Senyumannya melebar. Matanya jadi rambang. Aku kaya! Aku kaya! Melompatlah dia kegembiraan, lupa pada luka di kakinya tadi. Bahkan, lupa juga pada duri di kanan dan kiri. Maka bertambah-tambahlah luka di kakinya.

Gembiranya hati, tak sabar hendak pulang ke rumah membawa peti berisi harta. Baru teringat yang dia itu sedang tersesat di dalam hutan. Hilang gembiranya sebentar tadi. Hilang gembira, rasa sakit luka di kaki datang lagi. Tapi kali ini luka semakin besar dan banyak akibat ditusuk duri. Darah pula mengalir tanpa henti, muka menjadi pucat. Dudukpun sudah tidak mampu. Ingin menjerit minta tolong, tiada siapa di situ. Bahkan menjeritpun dia sudah tidak mampu akibat kehilangan darah. Akhirnya mati!

Begitulah Qalbu kita tadi. Lukanya kesan tusukan jarum duniawi. Berdarah. Darahnya iman juga. Sebab makanannya iman, ubatnya iman, minumannya pun iman juga, maka isinya iman. Isinya yang iman itulah menjadi darahnya yang mengalir keluar dari luka tadi.

Namun, lantaran seronoknya pesona dunia, lupa pada sakitnya. Luka tetaplah luka. Tak diubat, bernanah pula. Tapi tak sedar, sebab masih seronok dengan dunia.

Atau, mungkin takut pada penguasa yang zalim. Diturut saja kata penguasa. Walau jelas salahnya. Terlalu takutkan penguasa, sampai lupa Qalbunya yang luka. Bila lupa, maka tak diubatnya. Luka tetaplah luka. Tak diubat, bernanah pula. Tapi tak sedar, lantaran terlalu takut pada penguasa.

Sampai suatu waktu. Waktu hilangnya keseronokan dunia. Waktu hilangnya ketakutan pada penguasa. Iaitu waktu kita sedar. Sedar yang sebenar-benarnya. Iaitu mati. Hilanglah rasa seronok pesona dunia, hilang juga ketakutan pada penguasa sebab penguasa tadi sudah tidak berkuasa di alam sedar ini.

Hilang seronok, hilang takut, maka datang sakit dari Qalbu yang luka tadi. Dilihatnya pada Qalbu itu, telah kosong. Pucat. Tak berisi. Darah imannya telah habis mengalir keluar. Tidak tinggal walau setitik pun. Lebih teruk lagi, Qalbunya telah membusuk, bernanah, bahkan berulat berengga. Kala itu, telah terlewat. Qalbunya tak bisa diubati lagi.

Maka sakitlah dia. Kekal sakitnya. Kekal selama-lamanya. Di dalam neraka.

Tuesday, January 8, 2008

Mencari Diri

Siapa aku? Siapa engkau? Siapa dia?

Kalau ditanya "apa itu aku?", "apa itu engkau?" atau "apa itu dia?", lebih mudah untuk dijawab.

Aku adalah kata ganti diri pertama.
Engkau adalah kata ganti diri kedua.
Dia pula adalah kata ganti diri ketiga.Mereka pun kata ganti diri ketiga juga.

Tetapi, persoalannya, "siapa"...
Siapa "aku", "engkau", "dia" dan "mereka itu"?

Adakah engkau benar-benar kenal akan siapa engkau itu?
Aku? Aku sendiri tidak pasti adakah aku benar-benar kenal akan siapa aku.

Siapa engkau? Ah! Biarlah engkau sendiri yang jawab.
Siapa dia? Biarlah juga dia sendiri yang jawab.
Siapa kita? Marilah kita sama-sama berbincang dan berfikir tentang ia.

Diri kita ada jasad. Diri kita ada roh. Itu sesuatu yang pasti.
Ada jasad, tiada roh. Bangkailah jadinya.
Bagilah bahasa yang elok sikit, Mayat. Eh! Terasa seram pula jadinya.
Kalau ada roh, tiada berjasad. Apa pula?
Mungkin Malaikat, mungkin pula Iblis. Mungkin juga ada yang ingin menambah lagi.

Roh tetaplah roh, dan jasad tetaplah jasad. Roh itu urusan Tuhan. Janganlah dikaji-kaji. Ianya halus sampai tak terlihat dek mata kasar mahupun mikroskop elektron berkuasa tinggi. Tetapi, memenuhi badan.
Apa itu? Halus memenuhi jasad? Satu jasad ada banyak roh-kah?
Bukan! Satu jasad cuma ada satu roh.
Tapi tadi kata roh tu halus, macam mana boleh memenuhi jasad?
Erm..... ???

Dah dikatakan tadi, roh itu utusan Tuhan. Jangan dikaji-kaji. Kenapa degil?

Bukankah roh sebahagian dari diri. Kenal diri, maka kenallah Tuhan.

Eh! menjawab pula. Dah habis kajikah tentang jasad? Apa sifatnya, apa cirinya, apa apanya. Kalau sudah habis kaji tentang jasad kamu itu, maka aku tanya kamu, Berapa helaikah bulu roma yang kamu ada? Kalau kamu dapat jawab dengan tepat, silalah kamu kaji tentang roh. Kamu dah kashaf agaknya. Aku belum lagi. Berapa helai bulu hidung pun, aku tidak tahu.

Inilah jasad aku. Itulah jasad engkau. Jasad itu Ahmad Albab yang punya (jasad si Ahmad Albab lah). Betulkah jasad engkau, engkau yang punya? Kalau engkau yang punya, kenapa tak tahu bilangan bulu romanya. (Kalau dah kashaf, tentu kamu tahu ini ayat provokasi bagi yang sama-sama belum kashaf macam aku).

Apa kejadahnya jasad tu? Jasad itu badan. Badan itu tubuh. Apa pula kebendanya badan dan tubuh itu? Tak payahlah aku jawab. Aku ni tidak layak menjadi guru tadika. Cepat naik darah.

Hakikatnya, jasad itu adalah sel yang membahagi. Asalnya, dari dua sel separuh lengkap satu dari ibu dan satu dari bapa. Ya, jasad kita adalah sel ibubapa kita yang membahagi. Cuma ia terlepas dari jasad ibubapa kita. kalau tak kerana ia dihidupkan dan membahagi, tetaplah kita sebagai satu sel serpihan dari ibubapa kita yang mungkin dikeluaran sebagai daki. Mujur kita bukan dari sel kulit. Tapi dari sel yang lain.

Setelah membahagi, kita membesar. Membesar bukan kerana sel itu yang menjadi besar, tetapi dek kerana bilangan sel yang bertambah. Lalu sebahagiannya membentuk otak. Istimewanya manusia, dikatakan diotaklah letaknya akal. Apa pula akal itu?

Akal itu fikiran kita. Kita belajar dan berfikir. Bukan serpihan dari ibubapa kita. Tetapi, ada kalanya termakan juga kita akan akal fikiran ibubapa kita.

Namun, semakin kita besar, semakin kita belajar. Bila bertambah pengalaman hidup, semakin jelaslah pegangan akal kita. Sampai ada yang membantah ibubapa.

Balajar dan memikir. Apa yang dia fikirkan, hanya dia yang tahu.

Jika jasad hanya meneruskan proses pembahagian sel yang membentuk jasad yang sama dengan jasad datuk nenek dan moyangnya. Maka, akal pula bila terus menerus berfikir, akan membentuk satu pemikiran yang jauh dari pemikiran datuk nenek dan moyangnya. Dari pemikiran primitif ke pemikiran moden(?).

Lalu, berlaunglah si pemikir mengatakan "akal itulah aku". Dan bermadahlah si pemikir:
Roh itu urusan Tuhanku
Jasad itu serpihan ibubapaku
Maka akal itulah aku yang sebenarnya

Namun, timbul pula pertanyaan baru.

APAKAH AKAL ITU? APAKAH SIFATNYA? CIRINYA? BENTUKNYA? LETAKNYA? DAN SETERUSNYA.

Jasad yang tampak pun kita tak kenal, lagikan pula akal yang tak kelihatan.

Tuesday, October 9, 2007

LANGKAH PERTAMA

Hidup merupakan satu perjalanan. Perjalanan yang tak akan pernah ada perhentiannya. Tidak kira sama ada langkah pertama kita bermula dengan langkah kanan atau langkah kiri, kita tetap perlu meneruskannya sambil membetulkan setiap langkah yang akan dilakukan.

Kita tidak tahu apa yang ada dihadapan. Apa yang kita lihat, tidak semestinya akan kita lalui. Bekalanpun, kita tidak ada. Apa yang boleh kita lakukan hanyalah, pada setiap langkah, kita mengambil apa-apa yang boleh dijadikan bekalan. Kadang kala, apa yang kita ambil itu hanya satu bebanan, yang tidak ada gunanya sama sekali melainkan memberi penat dan memenuhkan ruang yang sepatutnya kita isi dengan bekalan yang berguna. Akhirnya, di hadapan nanti, kita akan merugi...

Untuk melangkah, memang banyak jalannya. Ke kanan boleh, ke kiripun boleh. Bahkan pada setiap sudut, kita boleh melangkah. Tapi, kenalah berhati-hati, jangan sampai melangkah ke dalam gaung, jangan sampai terpijak duri, dan jangan pula terpijak kulit pisang di atas simen yang licin, nanti jatuh, sakit pula, sampai tak lalu untuk meneruskan langkah-langkah yang seterusnya.

Sebelum meneruskan langkah, pastikan dulu apa yang akan dijadikan tempat berpijak. Jangan terpijak tahi ayam candu, nanti busuk tak terbau. Jangan terpijak titi yang rapuh, nanti dia runtuh. Pastikan tempat berpijak itu kukuh, supaya selamat perjalanan yang kita tempuh.

Ada orang, langkah pertamanya bagus. Tempat berpijaknya kukuh. Sehingga dia berjalan dengan angkuh, lalu lupa melihat ke bawah, ada lubangkah, ada kulit pisangkah. Lalu, dia terjatuh. Tersembam muka ke tanah. Ada yang mampu bangun semula, tapi terpaksa menanggung malu. Tak kurang pula yang terus jatuh terguling ke dalam gaung, tak mampu bangkit lagi. Terus mati. Matinya hina...

Ada pula yang langkah pertamanya pincang, bagai anak-anak kecil yang baru bertatih. Tapi, dia pandai mencari tiang buat topang. Mengukuhkan semula langkahnya. Akhirnya dia maju terus. Sampai ke tempat yang dituju. Menjadi mulia...

Ada pula yang sememangnya sejak awal lagi melangkah dengan yakin, Tapi tak angkuh. Slow and steady kata sesetengah orang. Nampak lubang, dilompatinya. Nampak kulit pisang, tidak dipijaknya. Orang lain melihatpun rasa senang. Mulia dalam perjalanan, mulia juga di tempat tujuan...

Tidak kurang juga yang langkahnya tempang. Tapi tak sedar diri. Dihulurkan tongkat, dicampaknya ke tepi. Cuba dipimpin, ditepisnya. "aku boleh berjalan sendiri", katanya. Tapi, dia tak sampai ke mana-mana. Akhirnya tinggal di belakang. Senang hati si binatang buas melihat si tempang tinggal seorang. Dimakannya tak bersisa. Mati dan tak tinggal nama....

Banyak lagi jenis orang yang berjalan. Namun, empat yang diatas boleh dikira sebangai rumusan. Yang lain, hanya bermain di sekitar yang empat itu jugalah adanya. Cuma, kadang-kadang ia berulang-ulang. Kadang pincang, kadang teguh, kadang tempang, kadang yakin... Yang kita mahu adalah yang benar-benar yakin... Haqqul yakin.

Kalau berjalan di lorong yang sempit janganlah bergaduh, apatah lagi kalau mencari gaduh. Nanti pasti ada yang akan tertolak keluar dari jalan, termasuk ke hutan, dipatuk ular pula. Kalau dijambatanpun begitu juga. Kalau bergaduh, nanti ada yang jatuh. Kalau sungainya dalam, lemas pula. Kalau cetek, dan jambatannya tinggi, takut nanti patah kaki, tak boleh berjalan lagi, atau mungkin terus mati terjatuh...

Jalan ada banyak. Kadang-kadang sampai boleh tersesat. Kalo tersesat, bertanya. "Malu bertanya, sesat jalan" itu pesan orang tua-tua. Jalan yang banyak mungkin ada yang dekat, mungkin ada yang jauh, mungkin juga ada yang tak sampai sebab sesat. Jadi, pandai-pandailah. Jangan tunjuk pandai, tapi pandai-pandailah.

Jalan yang dekat mungkin lurus, tak menarik. Hidupkan injin, masuk gear satu, tukar gear dua, eh! dah sampai. Itu kalau naik kereta. Jalan jauh mungkin ada selekoh tajam, salah belok, ke gaung perginya. Tapi seronok, sebab boleh "drift" macam dalam Initial D. Paling tidakpun, macam Impak Maksima. Tapi, memang bahaya juga. Kena pandai...

kalau berjalan kaki, tak ada salahnya. Sebab jalan dekat, sekejap sudah sampai, tak sempat menikmati alam. Kalu jalan jauh, boleh juga kuruskan badan sambil menghirup udara segar dan menghayati alam. Ambillah jalan mana yang suka. Jangan bergaduh.

Langkah aku yang pertama sudah selesai. The Al-Chemist ini terlalu mendalam untuk ku letakkan tentang ilmu kimia semata. Nanti macam tak hormat pula pada The Al-Chemist of Happiness kita. Imam A-Ghazali. Semoga Allah merahmatinya dan orang-orang yang mengikut jalannya.