THE AL-CHEMIST

perjalanan dan penjelajahan fikiran menuju yang pasti....

Thursday, February 14, 2008

QALBU YANG TERLUKA

Dalam diri anak Adam itu, ada seketul daging. Kalau ia baik, maka baiklah seluruh tubuhnya. Kalau ia rosak, maka rosaklah seluruh tubuhnya. Itulah Qalbu.

Jika Qalbu kita baik, maka tak perlulah dikhuatirkan. Salah!
Jika Qalbu kita baik, maka kita tetap perlu menjaganya. Tetap perlu menatangnya bagai minyak yang penuh. Dijaga dan dibelai. Kalau sakit Qalbu kita itu, maka perlulah diubati. Dan ubatnya adalah iman. Itulah ubatnya, bahkan menjadi makanannya juga. Tanpa iman, laparlah Qalbu itu, menjadi lemah tak bermaya. Maka sakitnya tidak mahu sembuh. Dari Qalbu yang baik menjadi Qalbu yang rosak.

Rosaknya Qalbu itu tidak sakitkah?
Ketahuilah, rosaknya Qalbu itu teramat sakit . Namun, terkadang bahkan selalu kita terlupa pada sakitnya itu, mungkin kerana terlalu takut atau terlalu gembira.

Analoginya, seorang yang luka kakinya. Jalannya terdengkot-dengkot bukti sakit yang amat. Tapi dia tersesat di dalam hutan, maka haruslah dia tetap berjalan mencari jalan pulang. Amat malang, terserempak pula dengan harimau yang garang. Hah! Mencicit lari, lintang pukang, tak cukup tanah. Akibat takutkan harimau, lupa dia akan kakinya yang luka itu. Lepas dari mulut harimau, mujur pula tiada buaya. Maka dia kembali tenang. Terduduklah dia keletihan, baru terpandang luka di kakinya tadi. Aduh! Sakitnya datang kembali, bahkan telah bertambah dua kali.

Sedang menahan sakit, terpandang pula sebuah peti besi. Nampaknya mahal. Tapi di tempat yang berduri. Dek rasa ingin tahu, didekatinya peti besi itu dengan berhati-hati agar tak di tusuk duri. Dibukanya peti besi itu. Wah! Ada emas, ada intan, ada permata. Gembira hatinya. Senyumannya melebar. Matanya jadi rambang. Aku kaya! Aku kaya! Melompatlah dia kegembiraan, lupa pada luka di kakinya tadi. Bahkan, lupa juga pada duri di kanan dan kiri. Maka bertambah-tambahlah luka di kakinya.

Gembiranya hati, tak sabar hendak pulang ke rumah membawa peti berisi harta. Baru teringat yang dia itu sedang tersesat di dalam hutan. Hilang gembiranya sebentar tadi. Hilang gembira, rasa sakit luka di kaki datang lagi. Tapi kali ini luka semakin besar dan banyak akibat ditusuk duri. Darah pula mengalir tanpa henti, muka menjadi pucat. Dudukpun sudah tidak mampu. Ingin menjerit minta tolong, tiada siapa di situ. Bahkan menjeritpun dia sudah tidak mampu akibat kehilangan darah. Akhirnya mati!

Begitulah Qalbu kita tadi. Lukanya kesan tusukan jarum duniawi. Berdarah. Darahnya iman juga. Sebab makanannya iman, ubatnya iman, minumannya pun iman juga, maka isinya iman. Isinya yang iman itulah menjadi darahnya yang mengalir keluar dari luka tadi.

Namun, lantaran seronoknya pesona dunia, lupa pada sakitnya. Luka tetaplah luka. Tak diubat, bernanah pula. Tapi tak sedar, sebab masih seronok dengan dunia.

Atau, mungkin takut pada penguasa yang zalim. Diturut saja kata penguasa. Walau jelas salahnya. Terlalu takutkan penguasa, sampai lupa Qalbunya yang luka. Bila lupa, maka tak diubatnya. Luka tetaplah luka. Tak diubat, bernanah pula. Tapi tak sedar, lantaran terlalu takut pada penguasa.

Sampai suatu waktu. Waktu hilangnya keseronokan dunia. Waktu hilangnya ketakutan pada penguasa. Iaitu waktu kita sedar. Sedar yang sebenar-benarnya. Iaitu mati. Hilanglah rasa seronok pesona dunia, hilang juga ketakutan pada penguasa sebab penguasa tadi sudah tidak berkuasa di alam sedar ini.

Hilang seronok, hilang takut, maka datang sakit dari Qalbu yang luka tadi. Dilihatnya pada Qalbu itu, telah kosong. Pucat. Tak berisi. Darah imannya telah habis mengalir keluar. Tidak tinggal walau setitik pun. Lebih teruk lagi, Qalbunya telah membusuk, bernanah, bahkan berulat berengga. Kala itu, telah terlewat. Qalbunya tak bisa diubati lagi.

Maka sakitlah dia. Kekal sakitnya. Kekal selama-lamanya. Di dalam neraka.

3 comments:

President (wiir2000) said...

update la lagi...sy menanti tulisan anda..

aiyrie said...

Agak sibuk buat masa ni. Tengah cari bahan dan buat kajian lagi. kalau benda ngarut senang nak tulis, tapi benda yang berat ni payah skit. Sabor la ye...

President (wiir2000) said...

hehehe..ok.... sy tunggu...
;)