Tuesday, September 10, 2024
Nota Pedoman Sembahyang Berjemaah 002
Nota Pedoman Sembahyang Berjemaah 001
Allah - Nama bagi "Zat Yang Wajib Ada" yang memiliki sifat-sifat kesempurnaan. Merupakan lafaz jalalah. Merupakan Ismul A'zam (nama yang teragung).
Ar-Rahman - Tuhan yang memberi nikmat yang besar-besar (nikmat yang boleh dilihat di dunia) kepada semua, sama ada orang yang beriman atau orang yang kafir.
Ar-Rahim - Tuhan yang memberi nikmat yang halus-halus (nikmat yang tak dapat dilihat di dunia seperti pahala, syurga, keberkatan dll) kepada orang yang beriman sahaja.
Memulakan penulisan kitab dengan basmalah untuk mengambil keberkatan kitab-kitab Allah yang dimulakan dengan basmalah. Juga mengambil kira hadis yang menyatakan setiap amalan yang baik pada syarak yang tidak dimulakan dengan basmalah adalah terputus, yakni terputus daripada rahmat/keberkatan.
Basmalah, hamdalah dan selawat sebagai pembuka bicara umat Islam.
TG Hj. Abdul Rahman, pengasas Pondok Lubuk Tapah adalah ayah kepada TG Hj. Abdullah Pondok Lubuk Tapah dan datuk kepada Mufti Wilayah Persekutuan SS Dr. Luqman bin Hj. Abdullah.
TG Hj. Abdul Rahman menulis risalah ini kerana beliau mendapati ada di kalangan umat Islam yang meninggalkan adab-adab sembahyang berjemaah.
Tujuan risalah ini ditulis supaya orang yang belajar/membaca (mengamat-amati) risalah ini mendapat kelebihan sembahyang berjemaah dan terpelihara daripada batal sembahyangnya akibat daripada tidak mengikut syarat dan rukun sembahyang berjemaah.
Wednesday, July 28, 2021
Panduan Sembahyang Berjemaah 001
Inilah risalah "Pedoman Sembahyang Berjemaah" oleh Almarhum Tuan Guru Haji Abdul Rahman Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas Kelantan.
Dicetak kali yang pertama pada tahun 1969.
Bismillahirrahmanirrahim.
[Pujian bagi Allah dan selawat ke atas rasulullah]
Adapun kemudian daripada itu, maka tatkala melihat hamba akan setengah saudara2 hamba yang menunaikan sembahyang berjemaah pada setengah2 tempat hal keadaannya meninggal mereka itu akan adab2 baginya. Maka bergerak fikiran hamba akan menuliskan satu risalah yang menyata ia akan setengah adab2 yang tertentu baginya supaya dapat kelebihannya bagi mereka itu dan terpelihara daripada batal sembahyang mereka itu sekira2 mengamati2 mereka itu. Dan hamba susunkan di dalamnya tiga fasal dan satu khatimah. Dan akan Allah taala jua hamba pohonkan bahawa memberi manfaat Ia dengan ini risalah bagi hamba sendiri dan bagi sekalian pembacanya. Dan bahawa menjadi Ia akan dia ikhlas semata2 menuntut keredhaan-Nya kerana bahawasanya Ia sangat kuasa atas tiap2 sesuatu. [Mohon taufik Allah]
Fasal yang pertama pada menyatakan hukum sembahyang jemaah dan kelebihannya.
Dan disyarakkan sembahyang berjemaah kemudian daripada berpindah Nabi ke Madinah. Dan ialah ketentuan umat ini seperti Jumaat dan dua hari raya. Dan iaitu sunat muakadah di sisi Rafi'i. Kata qil sunat kifayah. Kata qil fardhu 'ain. Dan terlebih sah di sisi Nawawi fardhu kifayah. Dan tak dapat tiada daripada zahir ketandaan jemaah dengan mendirinya dengan satu tempat di dalam kampung kecil dan beberapa tempat di dalam kampung besar, baru lepas tuntutannya dengan sekira2 zahir segala pihaknya ketandaan jemaah. Maka jika muafakat mereka itu atas mendirinya di dalam segala rumah2 dan tiada zahir dengan dia ketandaan nescaya tidak gugur fardhu.
Maka jika tertegah mereka itu daripada mendirinya atas barang yang disuruh akan dia nescaya memperang akan mereka itu oleh imam atau gantinya tiada lainnya.
Dan telah datang beberapa khabar yang banyak pada menyatakan kelebihannya. Setengah daripadanya khabar Bukhari dan Muslim [teks Arab hadis] ertinya bermula sembahyang berjemaah terlebih afdhal daripada sembahyang seorang dengan dua puluh tujuh darjat. Dan setengah daripadanya khabar at-Tabrani daripada Anas [teks Arab hadis] ertinya barang siapa berjalan ia kepada sembahyang fardhu berjemaah maka iaitu seperti kerja satu haji dan barang siapa berjalan ia kepada sembahyang sunat maka iaitu seperti kerja umrah yang sunat. Dan setengah daripadanya khabar Tarmizi daripada Anas pula [teks Arab hadis] bermaknanya barang siapa sembahyang ia empat puluh hari dalam berjemaah mendapat ia akan takbiratul ihram mengiringi imam disurat baginya dua kelepasan satu kelepasan neraka dan kedua kelapasan daripada nifak yakni perangai munafikin percaya zahir ingkar batin.
Dan telah membilang salaf akan luput sembahyang jemaah akan bala dan adalah setengah salaf keluar ia pergi ke kebun tamar baginya kemudian balik ia, tiba2 manusia sudah sembahyang Asar maka mengucap ia inna lillahi wa inna ilaihi raji'un luput dah aku sembahyang jemaah ini, maka ia pun jadikan kebunnya sedekah kepada miskin2 ganti kerugiannya. Dan adalah Abdullah bin Umar r.a luput sembahyang jemaah 'isyak maka sembahyang ia pada malam itu hingga naik fajar kerana tampal kerugian itu.
Dan berkata setengah salaf tiada meluput akan seorang oleh sembahyang jemaah melainkan dengan sebab dosa yang mengena ia akan dia.
Bersambung...
Monday, March 5, 2012
Merenung dan Beramal dengan Nasib
Sunday, May 4, 2008
Merenung Kejadian
Merenung kejadian. Melihat segala yang dijadikan. Yang dijadikan itu ada namanya, itulah Alam.
Melihat itu bukan sekadar dengan mata. Ada benda yang tidak mampu dilihat dengan mata. Atom dan molekul contohnya. Bahkan dengan bantuan mikroskop cahaya juga kita tidak mampu melihat atom dan molekul. Terpaksalah mengguhakan alat yang lebih maju.
Dengan ilmu sains, kita mampu melihat atom, bahkan elektronpun mampu dilihat. Jika dulu, ahli falsafah mengatakan unsur itu hanya lima. Kini kita tahu pembahagian itu salah.
Ada pelbagai unsur yang membentuk benda. Ada unsur Oksigen, ada Karbon, ada Hidrogen dan pelbagai lagi. Jasad kita juga terbentuk dari unsur-unsur ini dan ditambah beberapa unsur yang lain.
Mengikut kiraan jisim (yang menentukan berat), unsur yang terbanyak dalam membentuk jasad manusia ialah Oksigen. Unsur ini unik. Secara alami, jika unsur ini berkumpul sesama sendiri ia hanya membentuk molekul oksigen yang tidak mampu dilihat dengan mata. Pada keadaan tertentu, ia membentuk ozon yang juga tidak mampu dilihat dengan mata. Secara kasarnya ini adalah analogi bagi unsur Roh dalam diri manusia. Roh yang tidak kelihatan inilah yang sepatutnya diambil berat oleh manusia. Yang melambangkan kehidupan di alam sana.
Unsur yang berperanan membentuk tubuh dengan cara memegang unsur-unsur lain pula ialah Karbon. Ia juga adalah unsur kedua terbanyak mengikut kiraan jisim. Unsur ini juga unik dan penting. Ia menjadi analogi bagi keperluan jasad yang tampak. Jasad yang memperlambangkan kehidupan di dunia.
Untuk membentuk kehidupan yang kukuh di dunia, jadikanlah unsur Karbon ini sebagai panduan.
Kebetulan yang ditentukan oleh Zat Yang Maha Mengetahui, sememangnya menarik untuk direnung. Atom Karbon adalah perlambangan bagi seorang individu. Atom ini berkumpul membentuk beberapa bahan. Dua yang utama ialah arang (graphite) dan berlian (diamond).
Arang, jika dilihat susunan atomnya, terbentuk dengan susunan yang berlapis-lapis dan tersusun. Ia juga hitam (tidak telus cahaya). Susunan ini membentuk bahan yang rapuh. Ia adalah analogi kehidupan manusia. Jika kita menyusun masyarakat secara berlapis-lapis (mengikut kasta?), yang mana kumpulan yang di bawah tidak berhubung secara langsung dengan kumpulan yang di atas. Bahkan, tiada ketelusan (transparency). Maka, natijahnya ialah masyarakat itu akan mudah runtuh. Begitu juga dalam keluarga. Jika mengikut resam arang, walaupun nampak tersusun cara hidupnya tetapi tiada ketelusan sesama anggota keluarga, terutama antara suami dan isteri, pasti hubungan itu rapuh.
Berlian pula, susunan atomnya nampak seperti tidak teratur. Tapi sebenarnya ia tersusun rapi. Setiap atom saling berhubung. Ia telus cahaya. Berkilauan. Bahkan ia terkenal sebagai bahan yang paling utuh pernah diketahui. Ini adalah analogi kehidupan bermasyarakat yang kukuh. Setiap individu saling berhubungan. Setiap tindak-tanduk disertai ketelusan hati. Pemimpin bersikap transparen. Rakyat boleh berhubung terus dengan pemimpim masyarakat. Susunan inilah yang dicontohkan oleh Rasullah s.a.w dalam sistem kemasyarakatan di Madinatul Munawarah. Dalam kekeluargaan juga, jika mengikut resam berlian insyaAllah hubungan akan kukuh. Walaupun suami isteri masing-masing sibuk dengan kerjaya. Laksana susunan atom dalam berlian yang tidak teratur tapi tersusun rapi. Ada perbincangan, ada ketelusan dan ada persefahaman. InsyaAllah, berkilauanlah cahaya di kediaman.
Banyak lagi pengajaran yang boleh diperolehi dari penciptaan alam. Apa yang perlu, kita pergunakan akal yang dianugerahkan kepada kita. Fikirkan tentang ciptaan-Nya. InsyaAllah, kita akan berjaya.
Monday, March 31, 2008
AKAL YANG KELIRU
Maka, akan ada pula yang membantah. Katanya, “Anakku cacat akal. Adakah engkau mengatakan dia tidak beragama?”. Lalu, jawablah dengan tenang. Dengan hormat pada si ayah yang bersusah-payah membesarkan anaknya yang cacat akal itu tadi. Harus dijawab, “Agama itu ialah cara hidup. Bagaimanakah cara hidup anakmu yang cacat akal itu. Kamu biarkan dia sendiri yang mengatur, atau kamu yang mengaturkan untuknya?” InsyaAllah, dia akan membalas “Tentulah aku yang mengaturkan cara hidupnya.” Nah! Di sini dia telah memberikan jawapan. Walaupun kita lihat orang yang cacat akal itu hidup dengan cara hidup yang baik. Siapa yang tolong mengaturkan cara hidupnya itu. Pastinya ada insan yang berakal sihat yang tolong mengaturkannya.
Akal itu diperoleh dari pengalaman dan latihan. Sekadar pengalaman, tak memberi bekas pada akal. Lihat pada kisah Pak Pandir. Berkali-kali ditipu. Tapi, masih tetap dapat ditipu. Sekadar latihan juga tidak berguna, jika tidak mengambil iktibar dari pengalaman.
Akal itu boleh sahaja menjadi keliru. Berapa ramai yang tahu dan mengerti, merokok itu mendatangkan mudarat. Bahkan ada yang bercerita di kedai kopi tentang taulannya yang telah mati akibat kanser paru-paru. Mulut menyatakan kesal kerana selalu menghulurkan rokok kepada almarhum, tapi ditangannya, masih ada rokok yang berbara. Kadang-kadang diletakkan di mulut, lalu disedut dalam-dalam. Sekali sedut, separuh menjadi abu. Tak takutkah dia? Tak insafkah dia? Sedangkan dia sendiri yang mengatakan merokok itu membahayakan kesihatan. Belajarnya pula di bidang kimia. Tahu seribu satu macam racun di dalam rokok itu. Bila cuba di usik, mengatakan merokok itu hukumnya “wajib”, dimarahnya kita. Bukan setakat ilmu kimia yang menjadi hujah. Keluar juga pelbagai dalil dan kata-kata ulama. Tapi mengapa masih di sedut juga rokok itu. Tidak berakalkah dia?
Ada pula yang kononnya terlalu berakal, sampai mengangkat akalnya sebagai panduan. Segala-gala mesti di tunjangi logik akal. Dalil Qur’an dan hadis semua dia sangkal. Bahkan, tanpa segan-silu menetapkan “sebarang kenyataan yang menetapkan bahawa asal-usul kehidupan ini ada perkaitan dengan kuasa ghaib (supernatural intervention) tidak boleh diikhtiraf sebagai sains”. Katanya, mana mungkin ada sesuatu kuasa yang di luar jangkauan akal.
Pernah terkenal sejak pertengahan abad ke-19 ajaran Karl Marx berasaskan historis-materialisme. Menyatakan pendapat bahawa tidak ada sesuatu di luar dari alam kenyataan ini. Katanya, Agama, Tuhan dan sebagainya hanyalah “buatan” manusia sahaja. Lahir pula tokoh seperti Lenin dan Stalin menguatkan lagi ajaran ini. Mereka runtuhkan rumah ibadat. Mereka anjurkan anti-agama. Tetapi akhirnya meninggallah lenin dan Stalin. Mati menjadi mayat. Mayat itu ialah jasad yang tinggal apabila benda hidup tidak lagi bernyawa. Bahasa kasarnya ialah bangkai. Bangkai ertinya “benda bangkai” yang mereka hormati. Padahal, apakah ertinya “benda bangkai” yang mereka hormati laksana penyembahan oleh orang yang beragama itu? Mereka tentu menjawab bahawa bukan bukan bangkai itu yang dihormati, tetapi Pemikiran Lenin-Stalin. Kita tanya lebih lanjut, Apakah pemikiran itu? Bendakah? Bukan! Jadi apa? Fitrah mereka sendiri tidak dapat dihalangi untuk mempercayai adanya keghaiban pemikiran. [ Prof. Dr. HAMKA - Falsafah Ketuhanan]
Pemikiran itu datang daripada akal. Akal itupun ghaib juga. Kalau dikatakan bahawa akal itu hasil dari benda. Mengapa batu dan pasir tidak mengeluarkan buah fikiran? “Batu dan pasir tidak berotak”, jawab mereka. Kita jawab pula, “Oh! Kalau begitu, suatu haru nanti, kita akan dijajah oleh katak, kerana katakpun ada otak. Tentu sekali dia boleh berfikir dan membentuk partainya sendiri laksana partai komunis itu”. Bahkan, bagi yang mahu berfikir dan mengkaji, otak itupun terdiri dari bahan yang sama dengan batu dan tanah. Tiada bezanya, kerana ia dibina dari elektron, proton dan neutron semata-mata. Jadi patutkah mereka menghormati “benda bangkai” itu tadi? Padahal “benda bangkai” itu sendiri di makan ulat dan kembali menjadi tanah yang tidak berakal.
Ada pula golongan yang telah tunduk dan menerima fitrah dirinya yang mengakui adanya Tuhan dan alam ghaib itu, tetapi mahu mencari Tuhan pula. Berbekalkan akalnya, dia mengkaji. Dia hendak mencari keputusan, apa yang dikatakan benda itu dan apa yang dikatakan Tuhan. Padahal dia adalah hidup dalam lingkungan benda itu sendiri. Bahkan, diapun benda. Benda yang tidak pernah dia keluar dari alam benda.
Berbekalkan akal, dia hendak mencari siapa Zat yang mengatur benda. Padahal mencari apa zat akalnya sendiripun dia tidal mampu. Akalnya itu tidak mampu mecari diri sendiri. Bahkan dirinya yang jasad itupun belum dia ketahui. Berapa helaikah bulu romanya. Berapa helaikah rambutnya. Bahkan, berapa helai bulu hidungnya yang sedikit itupun dia tidak tahu. Bagaimana mahu mencari zat Tuhan?
Akal itu ada batasnya. Dia tidak mampu mencari apa yang di luar pengalamannya. Dia juga tidak mampu mencapai sesuatu yang di luar latihannya. Akal yang sihat, semakin jauh perjalanannya menempuh pengalaman, semakin tinggi dilatih dengan alat pengetahuan, pada akhirnya bertambah kuatlah iman. Bila akal yang berteraskan iman itu sampai ke hujung perjalanannya, maka dengan rela dan senang hatilah dia menyerah. Menyerah pada YANG MENJADIKANnya dengan penyerahan yang benar-benar ikhlas. Penyerahan yang dinamakan Islam.
Thursday, February 14, 2008
QALBU YANG TERLUKA
Jika Qalbu kita baik, maka tak perlulah dikhuatirkan. Salah!
Jika Qalbu kita baik, maka kita tetap perlu menjaganya. Tetap perlu menatangnya bagai minyak yang penuh. Dijaga dan dibelai. Kalau sakit Qalbu kita itu, maka perlulah diubati. Dan ubatnya adalah iman. Itulah ubatnya, bahkan menjadi makanannya juga. Tanpa iman, laparlah Qalbu itu, menjadi lemah tak bermaya. Maka sakitnya tidak mahu sembuh. Dari Qalbu yang baik menjadi Qalbu yang rosak.
Rosaknya Qalbu itu tidak sakitkah?
Ketahuilah, rosaknya Qalbu itu teramat sakit . Namun, terkadang bahkan selalu kita terlupa pada sakitnya itu, mungkin kerana terlalu takut atau terlalu gembira.
Analoginya, seorang yang luka kakinya. Jalannya terdengkot-dengkot bukti sakit yang amat. Tapi dia tersesat di dalam hutan, maka haruslah dia tetap berjalan mencari jalan pulang. Amat malang, terserempak pula dengan harimau yang garang. Hah! Mencicit lari, lintang pukang, tak cukup tanah. Akibat takutkan harimau, lupa dia akan kakinya yang luka itu. Lepas dari mulut harimau, mujur pula tiada buaya. Maka dia kembali tenang. Terduduklah dia keletihan, baru terpandang luka di kakinya tadi. Aduh! Sakitnya datang kembali, bahkan telah bertambah dua kali.
Sedang menahan sakit, terpandang pula sebuah peti besi. Nampaknya mahal. Tapi di tempat yang berduri. Dek rasa ingin tahu, didekatinya peti besi itu dengan berhati-hati agar tak di tusuk duri. Dibukanya peti besi itu. Wah! Ada emas, ada intan, ada permata. Gembira hatinya. Senyumannya melebar. Matanya jadi rambang. Aku kaya! Aku kaya! Melompatlah dia kegembiraan, lupa pada luka di kakinya tadi. Bahkan, lupa juga pada duri di kanan dan kiri. Maka bertambah-tambahlah luka di kakinya.
Gembiranya hati, tak sabar hendak pulang ke rumah membawa peti berisi harta. Baru teringat yang dia itu sedang tersesat di dalam hutan. Hilang gembiranya sebentar tadi. Hilang gembira, rasa sakit luka di kaki datang lagi. Tapi kali ini luka semakin besar dan banyak akibat ditusuk duri. Darah pula mengalir tanpa henti, muka menjadi pucat. Dudukpun sudah tidak mampu. Ingin menjerit minta tolong, tiada siapa di situ. Bahkan menjeritpun dia sudah tidak mampu akibat kehilangan darah. Akhirnya mati!
Begitulah Qalbu kita tadi. Lukanya kesan tusukan jarum duniawi. Berdarah. Darahnya iman juga. Sebab makanannya iman, ubatnya iman, minumannya pun iman juga, maka isinya iman. Isinya yang iman itulah menjadi darahnya yang mengalir keluar dari luka tadi.
Namun, lantaran seronoknya pesona dunia, lupa pada sakitnya. Luka tetaplah luka. Tak diubat, bernanah pula. Tapi tak sedar, sebab masih seronok dengan dunia.
Atau, mungkin takut pada penguasa yang zalim. Diturut saja kata penguasa. Walau jelas salahnya. Terlalu takutkan penguasa, sampai lupa Qalbunya yang luka. Bila lupa, maka tak diubatnya. Luka tetaplah luka. Tak diubat, bernanah pula. Tapi tak sedar, lantaran terlalu takut pada penguasa.
Sampai suatu waktu. Waktu hilangnya keseronokan dunia. Waktu hilangnya ketakutan pada penguasa. Iaitu waktu kita sedar. Sedar yang sebenar-benarnya. Iaitu mati. Hilanglah rasa seronok pesona dunia, hilang juga ketakutan pada penguasa sebab penguasa tadi sudah tidak berkuasa di alam sedar ini.
Hilang seronok, hilang takut, maka datang sakit dari Qalbu yang luka tadi. Dilihatnya pada Qalbu itu, telah kosong. Pucat. Tak berisi. Darah imannya telah habis mengalir keluar. Tidak tinggal walau setitik pun. Lebih teruk lagi, Qalbunya telah membusuk, bernanah, bahkan berulat berengga. Kala itu, telah terlewat. Qalbunya tak bisa diubati lagi.
Maka sakitlah dia. Kekal sakitnya. Kekal selama-lamanya. Di dalam neraka.